Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Kumpulan Komunikasi Korporat dan Kelestarian Worldwide Holdings Berhad (WHB) meneruskan tradisi tahunan syarikat dalam berkongsi rezeki sambil mengukuhkan ukhuwah sesama warga kerja dan rakan strategik.
Program tahun ini dimulakan dengan sesi pengisian rohani melalui Tazkirah Ramadan bertajuk “Istimewanya Ramadan” yang disampaikan oleh Tuan Habib Najmuddin Othman Al-Khered. Perkongsian tersebut memberi ruang kepada warga kerja untuk menghayati makna Ramadan serta memperkukuh nilai kesabaran, keikhlasan dan rasa syukur.
Program diteruskan dengan pengagihan beras dan bubur lambuk kepada seluruh kakitangan WHB, termasuk petugas di tapak operasi seperti Pulau Indah Power Plant (PIPP) dan tapak projek Waste-To-Energy (WTE). Kelab Sukan dan Rekreasi WHB (KSR) turut menyumbangkan buah kurma sebagai pelengkap sumbangan kepada semua kakitangan.
Sebagai usaha memperluas manfaat, sumbangan turut diagihkan kepada rakan strategik termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), Perbadanan Wakaf Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), badan korporat dan pejabat-pejabat di SUK, serta rakan media seperti Sinar Harian dan Media Selangor. Inisiatif ini juga disalurkan kepada komuniti asnaf di PPR Hicom, Shah Alam.
Semoga usaha ini terus membawa keberkatan dan memperkukuh hubungan yang terjalin antara WHB, rakan kerjasama serta komuniti setempat.