Worldwide Holdings Berhad

28 May 2026

WORLDWIDE HOLDINGS BERHAD SAMBUT ULANG TAHUN KE-36 DALAM SUASANA PENUH KESYUKURAN


SHAH ALAM, 18 Mei 2026 - Worldwide Holdings Berhad telah menganjurkan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-36 sempena penubuhan syarikat yang genap pada 18 Mei 2026.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna itu telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria, barisan kepimpinan serta seluruh kakitangan Worldwide Holdings Berhad. Program turut diserikan dengan bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Harith, Imam 1 Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13 Shah Alam.

Bagi memeriahkan sambutan, kakitangan turut mengambil bahagian dalam sesi interaktif Kahoot yang mengetengahkan pelbagai soalan berkaitan sejarah penubuhan, perkembangan serta pencapaian Worldwide Holdings Berhad sepanjang 36 tahun penubuhannya. Aktiviti tersebut berjaya menceriakan suasana sambil mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja.

Majlis turut menjadi platform untuk menghargai perjalanan dan pencapaian syarikat dalam menerajui pembangunan mampan serta usaha membina masa depan yang lestari. Sebagai simbolik penghargaan dan kesyukuran, acara diteruskan dengan sesi pemotongan kek ulang tahun yang melambangkan komitmen berterusan syarikat dalam merealisasikan visi dan aspirasi organisasi.

Sebagai penutup, warga kerja telah mengikuti sesi perkongsian tadabbur Surah Yasin yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Fazrul Ismail. Sesi tersebut memberikan pengisian rohani dan suntikan inspirasi kepada para hadirin melalui kupasan mendalam mengenai penghayatan Surah Yasin. Sempena sambutan ulang tahun ini juga, setiap kakitangan menerima cenderahati berupa buku tadabbur Surah Yasin sebagai kenangan dan panduan bermanfaat untuk dihayati bersama.