Worldwide Holdings Berhad

07 Apr 2026

WORLDWIDE HOLDINGS BERHAD SANTUNI 100 ASNAF MENERUSI KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA LZS


SHAH ALAM, 5 Mac 2026 - Dalam usaha berterusan memperkasakan kesejahteraan komuniti, Worldwide Holdings Berhad telah mengambil inisiatif menganjurkan program agihan zakat dan sumbangan bakul makanan kepada 100 asnaf fakir miskin di sekitar Subang Bestari. Program bermakna ini berjaya direalisasikan menerusi kerjasama strategik bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan jawatankuasa pengurusan Masjid Subang Bestari.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada teras Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam usaha proaktif menyokong kebajikan masyarakat setempat, khususnya bagi meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan menjelang ketibaan bulan Syawal.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan dengan kehadiran Ketua Pegawai Operasi Hartanah Worldwide Holdings Berhad, Sr. Hamyzar Toha, serta Eksekutif Kanan, Jabatan Perunding Zakat LZS, YBrs. Ustaz Mohd Amin Bin Karim.

Penganjuran program ini bukan sahaja mencerminkan komitmen teguh Worldwide Holdings Berhad terhadap kelestarian sosial masyarakat, malah ia terus memperkukuh sinergi bersama LZS bagi memastikan kelangsungan hidup dan kebajikan golongan asnaf sentiasa diberikan keutamaan.